“Dalam bulan baik ini, ada juga pihak tidak bertanggungjawab sanggup mengaibkan saya dan keluarga dengan cara begitu.”
Itu luahan penyanyi dan pelakon Linda Rafar, 37, mengenai tindakan pihak tertentu menyebarkan berita di Internet kononnya dia meninggal dunia kelmarin.
Selain itu, pihak terbabit turut menyebarkan gambar lelaki dan wanita berbogel didakwa menyerupai wajahnya dan komposer Edry Abdul Halim, semalam yang pernah mencetuskan kontroversi lebih 10 tahun lalu.
Linda berkata, dua provokasi itu perkara paling kejam dan melampau pernah dihadapi dalam hidupnya.
“Semalam (kelmarin) saya dikatakan meninggal dunia, namun saya sudah memberi penjelasan dalam Instagram.“Memang kelam-kabut dibuatnya apabila suami Syed Aiman, bekas suami Keifli dan anggota keluarga saya dihujani pelbagai panggilan bertanyakan kesahihan cerita yang tersebar,” katanya.
Linda berkata, belum pun reda kes fitnah itu dia sekali lagi diuji pihak tidak bertanggungjawab apabila kontroversi gambar bogel itu disebarkan semula di aplikasi sosial Tumblr, semalam.
“Situasi itu sangat menyedihkan saya sekeluarga. Sampai hati mereka mengaibkan saya sebegitu sedangkan saya sudah tenang menjalani hidup selepas kematian anak Rezaimen Keifli setahun lalu,” katanya.
Berikutan kejadian itu, Linda membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9 Shah Alam, tengah hari semalam.
Dia turut membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya tindakan tegas diambil terhadap dalang di sebalik penyebaran berita palsu terbabit.
Linda berkata, dia berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab itu secepat mungkin.
“Apabila cerita lama dibuka semula oleh pihak yang tidak ada hati perut dan zalim, saya jadi sangat sedih dan terkilan.“Saya harap sangat mereka yang membuat perbuatan itu ditangkap dan diambil tindakan supaya jadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.– ommdotmy