Pemilik butik Jimmy Coture menerima tempias populariti Siti Nordiana apabila butiknya menjadi perhatian gara-gara penyanyi itu memakai pakaiannya dalam Gegar Vaganza 2 (GV 2).
Jimmy atau nama sebenarnya Zaizakrani Ismail, 31, berkata, dia tidak menyangka perniagaan fesyen yang dibinanya sejak beberapa tahun lalu menunjukkan peningkatan selepas Siti Nordiana diumumkan juara Gegar Vaganza 2 pada 13 Disember lalu.
"Asalnya, Haiza memperkenalkan Nana (Siti Nordiana) kepada saya yang meminta saya mereka baju untuk persembahannya kerana tiada orang yang mahu menaja pakaian dia."Jadi saya dengan niat ikhlas mahu membantunya. Tak sangka pula saya turut mendapat tempias Nana dengan menerima lebih sepuluh tempahan setiap minggu," katanya yang dihubungi mStar Online pada Isnin.
Selain Siti Nordiana dan Haiza, Jimmy turut menaja pakaian Azian Mazwan Sapuwan dalam rancangan itu.Tambah Jimmy, sejak konsert itu berakhir, kebanyakan pelanggan mahukan rekaan gaun seperti yang digayakan Siti Nodiana."Mereka mahu tahu apa yang Nana pakai dan jenis kain apa yang digunakan. Begitu terperinci mereka bertanya.
"Kemudian mereka akan meminta saya menghasilkan gaun seperti yang dipakai Nana," ujarnya.Sementara itu, Jimmy berkata, dia cukup senang bekerjasama dengan Nana memandangkan penyanyi itu seorang yang tidak cerewet.
"Nana antara artis yang tidak cerewet. Cuma dia mahu pastikan baju yang direka itu sedikit longgar dan tudungnya menutup dada. Walaupun GV2 sudah selesai, dia masih menggunakan khidmat saya.
"Saya masih teringat bagaimana dia begitu segan mahu bertemu saya kerana menganggap dirinya tidak layak mendapat tajaan baju. Dia seorang yang sangat merendah diri," katanya.
Dalam Gegar Vaganza 2, Siti Nordiana menerima wang tunai RM100,000 kerana menjuarai rancangan itu.Menerusi temubualnya dengan mStar Online sebelum ini Siti Nordiana berkata, usahanya untuk mendapatkan tajaan pakaian bagi menyertai rancangan itu dipandang sebelah mata oleh kebanyakan pereka fesyen popular kerana tarafnya dilihat sebagai 'penyanyi kampung'.-hartini