Bekas Peserta Mentor Menang Gelaran Miss Malaysia World 2014 | Bekas peserta rancangan realiti nyanyian Mentor, Dewi Liana Seriestha, 25, telah dinobatkan sebagai juara Miss Malaysia World 2014, menjadikannya sebagai wanita Bidayuh pertama yang pernah memenangi gelaran tersebut.
Menurut laporan Borneo Post, Dewi yang berasal dari Kampung Tematu, Kuching, Sarawak, telah menewaskan 20 finalis lain dalam merebut takhta Miss Malaysia World 2014 yang mana Dewi akan mewakili Malaysia dalam pertandingan Ratu Cantik Dunia yang akan berlangsung di London, 14 Disember depan.
Selain memenangi gelaran utama itu, Dewi turut meraih gelaran sampingan antaranya Miss Talent, Miss Personality dan Miss Dr Alice.
Tempat kedua dimenangi finalis Bob Low, Cassandra Devi Jeremiah (tempat ketiga), Dhivya Dhyana (tempat keempat) dan Olivia Shyan (tempat kelima).
Selain pernah memasuki pertandingan realiti Mentor di bawah pemantauan penyanyi Liza Hanim, Dewi turut bergiat aktif dalam bidang seni sebagai seorang komposer, penulis lirik, pelakon dan model.
Dewi merupakan seorang Bidayuh yang beragama Kristian, bapanya berbangsa Cina dari Indonesia manakala ibunya adalah dari suku kaum Dayak Bidayuh dari Sarawak.
Sumber : mynewshub.cc