Saturday, January 10, 2015

Lebih 400 Selebriti Bersaing Dalam Tema Cinta ABPBH 2014!

Acara anugerah hiburan pilihan peminat paling lama bertahan, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) edisi ke-28 kembali tahun ini dengan tema sejagat, Cinta.

Cinta adalah luahan emosi setiap insan dalam segenap aspek kehidupan - baik cinta kepada Yang Maha Pencipta, kasih sesama manusia dan seluruh isi alam.

Bagi anak seni, cinta membawa pengertian lebih mendalam apabila hasil karya dipuja. Begitulah cinta yang menjadi penawar bagi segala-galanya.

Sempena penganjuran ABPBH 2014, rasa Cinta akan diterjemahkan melalui empat elemen penting iaitu tanggungjawab, rasa hormat, prihatin dan ilmu dalam setiap aktiviti yang dirancang termasuk beberapa siri jelajah di zon selatan, utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Tema Cinta ABPBH 2014! , info, terkini, hiburan, sensasi,

Luahan cinta abadi ini akan dipersembahkan pada malam kemuncak ABPBH 2014 yang bakal kembali menggegar Arena of Stars, Kota Keriangan Genting Highlands, dan akan disiarkan secara langsung pada hari Ahad, 5 April 2015.

Pengarang Kumpulan BH merangkap Penaung ABPBH 2014, Datuk Mahfar Ali berkata, BH sebagai akhbar ‘Merentas Generasi’ teruja kembali menghangatkan dunia hiburan tempatan dengan acara berprestij yang dinanti-nantikan peminat, ABPBH 2014.
“Sejak ABPBH dianjurkan 27 tahun lalu, kita melihat evolusi dunia hiburan di Malaysia berkembang seiring peredaran zaman.

“Menghampiri tiga dekad, ABPBH berbangga dapat menjadi neraca yang mengukur tahap kebolehan penggiat seni, daya populariti dan ketahanan mereka dalam mewarnai industri hiburan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABPBH 2014 yang juga Pengarang Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir berkata, Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2014 melalui panel khas menimbang beberapa kriteria dalam menentukan calon yang layak bertanding.

“Paling utama calon mempunyai produk yang dihasilkan mulai Disember 2013 hingga Disember 2014. Selain itu, penganjur turut melihat kepada tahap populariti dan impak calon terhadap industri hiburan.

“Syarat ketat dikenakan bagi memastikan fokus ABPBH yang memartabatkan artis popular mengikut pilihan peminat dipertahankan. Dalam hal ini, peminat mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pemenang yang layak,” katanya.

Pada peringkat permulaan, lebih 400 selebriti dan personaliti tanah air akan bersaing pada pusingan awal dalam 15 kategori utama yang dipertandingkan. Semua artis bersaing akan merebut kedudukan Top 5 atau lima calon teratas mengikut pilihan peminat.

Kategori terbabit ialah Artis Baharu Lelaki Popular; Artis Baharu Wanita Popular; Artis Komedi Lelaki Popular; Artis Komedi Wanita Popular; Pengacara TV Lelaki Popular; Pengacara TV Wanita Popular; Penyampai Radio Lelaki Popular; dan Penyampai Radio Wanita Popular.

Turut dipertandingkan ialah kategori Penyanyi Lelaki Popular; Penyanyi Wanita Popular; Artis Duo / Berkumpulan Popular; Pelakon TV Lelaki Popular; Pelakon TV Wanita Popular; Pelakon Filem Lelaki Popular; dan Pelakon Filem Wanita Popular.
Borang pencalonan pusingan awal ABPBH 2014 disiarkan dalam akhbar BH dan BH Ahad mulai 8 Januari 2015 hingga 3 Februari 2015 untuk pembaca memilih lima calon teratas.

Pembaca bertuah yang dipilih mengikut kaedah ‘undi dan menang’ akan menerima hadiah seperti iPad mini, Samsung Galaxy Note II dan jam tangan berjenama yang disediakan penganjur.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, akhbar BH juga mengadakan kategori sampingan secara online di laman web ABPBH iaitu www.ABPBH.com.my mulai 13 Januari 2015. Enam kategori dipertandingkan adalah Personaliti Popular; Artis Paling Kontroversi; Pasangan Selebriti Romantis; Artis Lelaki Stailo; Artis Wanita Stailo dan Gandingan Serasi Di Layar.
Pengumuman lanjut mengenai pengendalian acara dan hebahan lain akan dilakukan penganjur dari semasa ke semasa.

Syarikat produk kecantikan Zarra Sinar Puteri adalah penaja platinum bagi ABPBH2014 manakala penaja emas acara berprestij ini adalah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PSSPPA), Alam Flora Sdn Bhd, SWM Environment Sdn Bhd dan Environment Idaman Sdn Bhd. UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang merupakan penaja Perak turut menaja kereta Toyota Vios dan Camry bagi pemenang utama. Stesen Televisyen Malaysia Berhad (TV3) adalah stesen televisyen rasmi, Radio HotFM adalah stesen radio rasmi dan Tonton adalah platform digital rasmi acara ini. Antara penaja lain adalah Resorts World Genting yang menaja lokasi rasmi ABPBH2014 dan Hotel The Royale Chulan Kuala Lumpur menaja lokasi sidang media rasmi.

Pada tahun 2013, acara yang dianggap anugerah People of the Choiceini berjaya mencatatkan jumlah penonton tertinggi iaitu 5.3 juta, diikuti dengan pembaca dalam talian iaitu 1.8 juta. Sebanyak 341,758 undi diterima melalui undian akhbar, 257,706 undi melalui undian dalam talian dan 46,368 undi melalui undian pesanan ringkas. Kempen-kempen yang dijalankan sepanjang ABPBH2013 turut menarik minat 4.38 juta pembaca.

Baca : Emma Maembong Mohon Cari Adik Ipar Rakannya Yang Hilang 

Sumber : murai.com.my

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →