Wednesday, March 25, 2015

Awie Terima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong

Pelakon dan vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali sebagai Awie, 46, menerima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015 anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia. Majlis tersebut diadakan di Universiti Putra Malaysia, Seri Kembangan malam tadi.


Awie Terima Anugerah Sandang Kebesaran Gayong, info, terkini, hiburan, sensasi, awie

Bertemu dengan Awie usai majlis tersebut, penyanyi lagu Tragedi Oktober ini bercerita serba sedikit mengenai anugerah sandang kebesaran Gayong yang diterima olehnya.

“Saya berterima kasih atas anugerah sandang kebesaran Gayong ini. Di Majlis Himpunan Sang Sapurba Segayong Malaysia 2015 ini, saya menerima sandang Sri Pelangi Gangga Chula Sakti selaku Imam Khalifah Gayong,” kata Awie.

Awie juga sempat bercerita mengenai penglibatannya dengan Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia ini.

“Saya sudah terlibat dengan persatuan ini semenjak dahulu lagi. Semenjak kecil saya sudah belajar seni silat gayong ini. Arwah bapa saya juga merupakan guru silat, namun begitu, bapa saya enggan mengajar saya. Jadi saya mencari inisiatif sendiri untuk belajar bersilat,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Awie kini sedang giat menjalani latihan bagi pementasan teater Baik Punya Cilok yang bakal berlangsung pada 25 April ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

“Kini saya dan barisan pelakon lain sedang menjalani proses latihan teater ini. Proses pertama yang kami kena lakukan adalah untuk membuang gelak. Semasa sesi latihan, saya akui yang kami sendiri tidak henti-henti ketawa kerana menuturkan dialog komedi, namun apabila di atas pentas nanti, kami kena sampaikan dengan bersahaja tanpa ketawa. Jadi proses buang gelak itu adalah sesuatu yang sangat sukar,” katanya lagi.

Diminta mengulas mengenai hubungan Dato’ AC Mizal dan Hans Isaac yang kembali jernih setelah hampir lima tahun bermasam muka, Awie bersyukur dengan perkara tersebut dan berharap agar hubungan mereka akan dalam keadaan baik sampai bila-bila.

“Syukur, Alhamdulillah hubungan mereka kembali jernih. Saya cuma berharap agar perkara tersebut tidak berulang lagi dan kami semua akan kekal bersahabat,” uajrnya menutup bicara.

Sumber : kakiberita

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →