Tuesday, September 8, 2015

Jep (Sepahtu) Tidak Tertekan Belum Kahwin

Anggota kumpulan Sepahtu iaitu Jep tidak berasa tertekan untuk segera mendirikan rumah tangga seperti mana rakan-rakannya yang lain.


Jep (Sepahtu) Tidak Tertekan Belum Kahwin


Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 30, berkata, selain alasannya masih belum bersedia, dia juga ingin memberi fokus kepada ibu bapa dan keluarga terlebih dahulu sebelum berkahwin.
"Kawan-kawan sekeliling memang kebanyakkan sudah berkahwin dan mempunyai anak tetapi itu tidak membuatkan saya tertekan untuk segera menamatkan zaman bujang.

"Buat masa ini saya ingin beri perhatian kepada keluarga terlebih dahulu dan Insya-Allah selepas semuanya stabil baharu saya akan berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Jep tidak menafikan dia kini sudah mempunyai teman wanita namun tidak mahu terlalu terbuka mengenai perkara itu kerana bimbang akan disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun kata Jep, dia bersyukur kerana wanita berkenaan memahami situasinya memandangkan mereka sama-sama memerlukan masa sebelum berkahwin.
"Saya ada tanggungjawab dan begitu juga dia. Soal jodoh kami pun tidak berani cakap kerana itu semua kerja Tuhan," jelasnya.

Sementara itu, Jep berkata, dia masih belum puas mencurahkan bakti kepada ibu bapanya dan atas dasar itu juga dia lebih selesa pulang ke kampungnya di Kulai, Johor sekiranya tidak mempunyai sebarang aktiviti seni.

Kata Jep, dia ingin berada disamping ibu bapa dan lebih puas melihat mereka berada di depan matanya.
"Mereka berdua adalah segala-galanya untuk saya dan boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada masa saya, berada di kampung bersama mereka.

"Saya tidak kejar kemewahan dan dapat berada di tahap sekarang pun sudah membuatkan saya sangat bersyukur namun paling penting adalah ibu bapa saya.

"Keutamaan saya adalah untuk membahagiakan mereka dan Alhamdulillah kejayaan saya dapat dikongsi bersama mereka," katanya.-mstar

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →