Friday, October 2, 2015

Hazami Buang 18 Lagu Hasil Karya Sendiri?

Penyanyi Hazami bertindak membuang dua buah album terbitannya beberapa tahun lalu ekoran tidak berpuas hati dengan hasil akhir karyanya itu.


Hazami Buang 18 Lagu Hasil Karya Sendiri?

Hazami atau nama sebenarnya Norkamal Hazami Ahmad, 40, berkata, pandangan jujur diberikan oleh rakan-rakan terdekat mengenai karyanya itu turut mendorong kepada tindakannya itu namun tidak menyesal berbuat demikian.

"Setiap album ada sembilan buah lagu dan saya ambil keputusan untuk 'buang' kesemuanya kerana saya tidak berpuas hati dengan hala tuju yang ingin saya tonjolkan kepada pendengar.

"Malah rakan-rakan terdekat turut memberi pandangan sama dan saya tidak menyesal berbuat demikian," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Hazami berkata, dia sudah pun menyiapkan album terbaharunya berjudul I Luv U yang dijangka akan dipasarkan pada penghujung tahun ini.

Kata Hazami, album yang mengandungi 14 buah lagu dihasilkan hampir tiga tahun itu bakal memperlihatkan dirinya yang sebenar sebagai penyanyi, penulis lirik dan komposer.

"Mungkin untuk dua album yang dibuang itu saya terbawa-bawa untuk menampilkan kelainan sehingga hilang identiti Hazami itu sendiri.

"Tetapi menerusi I Luv U, saya kembali menjadi diri sendiri dan sangat berpuas hati dengan hasilnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hazami berkata dia lega apabila doktor mengesahkan dia bebas daripada kanser selepas mengalami pendarahan pada usus besar awal Ogos lalu.

Kata Hazami, kesihatannya kini juga semakin baik selain lebih peka terhadap pemakanan yang diambil agar masalah sama tidak berulang.

"Alhamdulillah ujian biopsi menunjukkan saya bebas kanser dan kini kesihatan saya semakin baik dengan mengambil kira pemakanan seimbang dan senaman kerap.

"Banyak yang saya belajar daripada kejadian itu dan akan lebih peka terhadap kesihatan selepas ini," jelasnya.

Tambah Hazami, berat badannya juga sudah bertambah sebanyak enam kilogram daripada 50 kilogram sebelum ini.-mstar

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →