Penyanyi kumpulan Sweet Child Acong akui rasa amat bersalah terhadap peserta Gegar Vaganaza 2 yang tersingkir dek kerana dirinya terpilih untuk imuniti Datuk Seri Vida.
Bagi Acong kesemua peserta yang telah meninggalkan pentas GV2 mempunyai kelebihan tersendiri dan layak menerima keistimewaan itu.
Namun, hakikatnya keputusan itu bukan di tangannya tetapi di tangan Datuk Seri Vida yang telah membuat keputusan memilihnya dirinya hasil daripada perbincangan bersama dengan juri tetap
“Rasa bersyukur tetapi ia juga satu cabaran yang sukar untuk mengekalkan mutu persembahan saya pada minggu depan.
“Saya kena berusaha lebih keras agar peluang yang diberikan ini tidak disia-siakan begitu sahaja.
“Memandangkan lagu untuk dinyanyikan pada minggu depan saya pun tak tahu. Jadi saya kena terima dengan hati terbuka untuk menggalas tanggungjawab itu dengan jayanya,” kata Acong kepada portal Murai.com.my.
Dalam pada itu, untuk minggu Rockdut, Acong juga mengalami masalah kesihatan iaitu sakit tekak secara tiba-tiba.
Demi mempertahankan kedudukan agar persembahannya tidak kelihatan hambar, maka dengan segera dia merawat sakitnya itu.
“Rasa sakit tekak bermula pada Jumaat lalu, pada masa yang sama peserta yang lain seperti Faradhiya turut alami sakit yang sama.
“Ketika sesi latihan saya perlu mengawal vokal agar tekak saya tidak semakin teruk. Pada minggu ini saya lihat semua memang bekerja keras dan terabai sedikit dengan kesihatan masing-masing.
“Alhamdulilah semuanya berjalan dengan lancar, saya juga tidak tersingkir maka peluang yang telah diberikan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi,” katanya mengakhiri bicara.-murai