Pelakon yang kini semakin meningkat naik, Janna Nick terus mengorak langkah apabila kini bergerak setapak menjadi seorang penyanyi apabila muncul dengan single terbaru berjudul Mungkin Saja.
Namun, apa yang dilakukannya kini seakan-akan meniru pelakon dan juga penyanyi Ayda Jebat. Bagaimanapun, Janna Nick menafikan perihal itu kerana baginya Ayda Jebat mempunyai tahapnya yang tersendiri.
“Dia (Ayda) memang mempunyai latar belakang dalam bidang nyanyian serta muzik, lagipun dia boleh bermain alat muzik. Saya tak layak untuk bertanding dengan dia dan saya pun tak nak bertanding dengan dia. Rezeki hak masing-masing”
“Bukan hendak tamak atau apa pun. Saya sendiri pun masih belajar dalam bidang baru yang saya ceburi ini,” katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran Single Perdana Janna Nick serta Pengenalan Artis Naungan Hikayat Records.
Tambahnya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk menjadi seorang penghibur yang versatil. Oleh itu, banyak perkara yang dilakukannya termasuklah ke kelas vokal untuk mendalami ilmu seni suara.
“Saya nak jadi seorang penghibur semestinya saya kena cuba semua dan buat apa yang boleh orang rasa terhibur. Saya ada ke kelas vokal dan juga ke kelas tarian apabila tidak sibuk dengan jadual penggambaran”
“Saya jenis suka fokus pada satu benda sahaja, kalau berlakon saya akan habiskan dahulu begitu juga apabila sedang membuat rakaman nyanyian di studio,” ujarnya yang juga bakal melancarkan album penuh tidak lama lagi.
Sementara itu, di Majlis tersebut turut memperkenalkan barisan artis-artis baru di bawah naungan Hikayat Records seperti Janna Nick sendiri, Dayah Bakar, Aqil Zainal dan Tengku Suhaila.-rotikaya