Showing posts with label Dayang gusar berkongsi perasaan. Show all posts
Showing posts with label Dayang gusar berkongsi perasaan. Show all posts

Friday, January 16, 2015

Dayang gusar berkongsi perasaan

Terus ada dan mengalir daripada celah-celah perbatuan sungai muzik, deru daripada gemeresik vokalnya sentiasa menjadi hiburan di lembah seni. Kemarau atau bah yang melanda, tiada juga ia tercemar dek mabuk tuba si petualang yang rakus. Arusnya masih begitu dan sesekali melalui tebing curam, indahnya terlihat dan terjunannya bisa membuahkan kekaguman.


Dayang gusar berkongsi perasaan, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, dayang nurfaizah

Air itu ibarat Dayang Nurfaizah yang sudah lebih 15 tahun menyusuri denai dunia hiburan. Dari Bumi Kenyalang hinggalah ke hutan batu, di Kuala Lumpur, dia antara permata yang bersinar terang. Datanglah seribu penyanyi baharu, Dayang masih antara senior yang sukses dan mungkin rujukan cemerlang buat anak muda yang punya kepercayaan. Ternyata, ruang dan peluang tidak pernah menolak sebuah anugerah bernama bakat.

Memasuki tahun 2015 dengan senyuman, hala pandangan wanita berusia 34 tahun itu masih fokus terhadap nyanyian. Tahun berganti, namun hidup tidak bernoktah selagi bernyawa. Tinggal lagi tahun ini, Dayang masih mencari kesinambungan yang terbaik untuk direalisasikan. Semuanya berpusat kepada nyanyian.


Dayang gusar berkongsi perasaan, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, dayang nurfaizah

“Tahun ini, awal-awal lagi sudah banyak perkara yang harus dibuat. Di mana-mana pun kena ada strategi dan untuk saya, pencarian material untuk single baharu sedang dilakukan. Saya kena memberatkan faktor ketelitian dan pencarian saya masih menetapkan lagu berkonsep balada,” jelas Dayang membina pengaruh dengan lagu berhantunya, Seandainya Masih Ada.

Balada, R&B dan soul yang mengalir dalam lagu-lagu lantunannya menjadikan Dayang tidak canggung untuk diberi jolokan diva R&B alaf baharu satu ketika dahulu. Melihat judul-judul lagunya seperti Erti Hidup, Mana Mungkin, Rindu Bayangan, Pintaku Yang Terakhir, Melerai Prasangka dan Kasih Maafkan, Dayang sememangnya pelantun lagu cinta yang penuh emosi. Ironinya, di belakang nyanyian, hati Dayang belum dijajahi cinta oleh lelaki.

Dayang gusar berkongsi perasaan, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, dayang nurfaizah

DAYANG NURFAIZAH merancang untuk tampil dengan sebuah single baharu dan mengekalkan balada sebagai rentak pilihannya.

Sejak mula menyanyi pada usia 18 dan sehingga kini, panas dingin Dayang dalam industri hiburan masih bersih daripada sebarang gosip liar, apatah lagi kisah cinta yang cuba disembunyikan.

Biarpun masih solo, namun sesuatu yang menyenangkan, soal jodoh pula sudah bukan persoalan yang menjentik gelisah di jiwanya.

“Apabila usia sudah masuk 30-an begini, saya sudah tak kisah apabila orang bertanyakan soal jodoh, untungnya sebab ibu bapa saya sendiri tidak pernah mendesak. Tetapi, apabila balik ke Kuching, sepupu-sepupu kebanyakan semuanya sudah berkahwin dan ada anak. Saya okey dengan ketentuan hidup yang masih solo dan saya tumpang seronok tengok pasangan yang berkahwin pada usia yang muda,” jelas Dayang yang barangkali sudah lemas diasak soal perkahwinan.

Mengusik Dayang tentang kesediaan untuk berkongsi hati dan mencatur rutin seharian secara berdua jika ditakdirkan berkahwin kelak, penyanyi berkulit hitam manis itu terkedu buat seketika. Bukan berbau sinis, namun kebarangkalian wujud perasaan tidak mahu dikongkong antara faktor mengapa wanita berkarier tidak terlalu terdesak untuk berkahwin.

“Entahlah, kadang-kadang ada juga perasaan bimbang untuk berkongsi makna kehidupan yang saya miliki hari ini dengan orang lain (lelaki) itu wujud. Terfikir juga, bagaimana kalau tiba-tiba saya akan berkahwin. Sebab itulah, sebelum berkahwin kena pilih betul-betul,” ujar Dayang (tertawa).

Dia tidak membentak saat soalan nikah kahwin dihadap ke mukanya.

LAGU Di Pintu Syurga memberi impak yang begitu kuat terhadap kedudukan nama Dayang Nurfaizah di persada muzik ketika ini.

Kematangan daripada pengalaman

Bermula dengan sebagai finalis Bintang Remaja Asli di Kuching, Sarawak pada tahun 1996, kini setelah lebih satu dekad, telah banyak pencapaian yang diraih oleh Dayang antaranya, Juara Lagu Balada menerusi Seandainya Masih Ada Cinta pada Anugerah Juara Lagu (AJL2001), Juara Lagu Irama & Etnik Kreatif Malaysia (Erti Hidup - AJL2004) dan Persembahan Vokal Terbaik Wanita dalam Anugerah Industri Muzik (AIM2013).

Tidak termasuk anugerah-anugerah lain seperti Persembahan Kolaborasi Terbaik dan Anugerah Planet Muzik 2011 menerusi lagu Sayang bersama Marcell dan Persembahan Vokal Duo/Berkumpulan Terbaik (AIM2013) bersama Anuar Zain, Dayang yang juga tidak terkecuali berdepan getir.

Paling tidak mahu dikenang pastinya kes yang berlaku pada tahun 2002 apabila Dayang menyaman tiga buah syarikat iaitu Bintang Seni, Broadway Entertainment dan Lindung Seni yang didakwa membuat perjanjian pengurusan yang berunsur menindas dan merugikannya. Pada tahun 2005 pula, Dayang dilaporkan telah menggugurkan kes berkenaan.


Dayang gusar berkongsi perasaan, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, dayang nurfaizah

Bagi Dayang, kisah lalu itu tidak perlu diungkit kerana sepanjang 15 tahun ini, terlalu banyak pengalaman yang mendewasakan dirinya menjadi seorang anak seni dan wanita yang matang.

Sejak kes samannya digugurkan dahulu, Dayang tidak banyak mengulas isu berkenaan. Jika ada pun, perkara itu bukan sesuatu yang perlu diketengahkan baginya.

“Biarlah perkara itu jadi satu pengalaman yang manis buat Dayang,” ringkas komen Dayang seperti yang dipetik menerusi akhbar Utusan Melayu yang tersiar pada Julai 2005.

DAYANG NURFAIZAH hanya akan terdetik rasa tentang perkahwinan apabila disoal media, saudara-mara dan melihat ramai sepupunya sudah berkeluarga.

Di Pintu Syurga ke pintu penentuan

Pada tahun lepas, kepercayaan yang diberikan kepada komposer Tam Spider dan pendatang baharu baharu dalam penulisan lirik, Iman Imran untuk menghasilkan Di Pintu Syurga telah membuahkan satu lagi anugerah buat Dayang.

“Lagu Di Pintu Syurga, Konsert Pesona Cinta Dayang & Marcell di Istana Budaya dan konsert solo Dayang Nurfaizah A Celebration of 15 Years In Music di Dewan Filharmonik Petronas (November), merupakan antara tiga pencapaian penting saya untuk tahun 2014.

“Saya sudah cukup bersyukur kerana masih diterima khalayak. Alhamdulillah, saya masih boleh tersenyum apabila mengingatkan dua konsert impian saya yang telah tercapai pada tahun lepas. Untuk tahun ini, belum ada apa-apa perancangan lagi kecuali mencari lagu baharu untuk dijadikan single,” jelas Dayang terbuka tentang kerjasama bersama komposer atau penulis lirik baharu.

Ditanya tentang trend muzik pada tahun 2015, Dayang tidak berani untuk membuat ulasan. Katanya, persada muzik bukan hanya menyaksikan kemunculan karyawan baharu yang masing-masing mempunyai fahaman dan identiti tersendiri, bahkan peminat muzik di Malaysia juga sudah arif menilai muzik.

“Jadi, apa sahaja boleh terjadi. Kadang-kadang, jenis lagu yang dirasakan asing boleh menjadi lagu kegemaran. Namun untuk saya, saya masih percayakan rentak balada. Balada ada daya tarikan yang kuat untuk terus melekat di hati pendengar,” kata Dayang.

Berjaya membuai sukma khalayak dengan lirik yang mencengkam perasaan, kolaborasi pertama Dayang bersama Tam Spider dan Iman Imran menerusi Di Pintu Syurga juga berjaya membawanya memasuki pintu pertempuran akhir AJL.

Kali terakhir Dayang bertanding ialah pada tahun 2004 menerusi lagu Erti Hidup. Sembilan tahun tanpa peluang dan ruang untuk beraksi di pentas pertandingan seperti itu menjadikan pertaruhan kali ini penuh debar buat Dayang.

“Menang dan kalah adat pertandingan, saya tak kisah kalah di tangan penyanyi muda kerana menang atau kalah memang adat bertanding. Apabila bersaing dalam sesebuah pertandingan itu, tidak harus timbul siapa yang lebih senior kerana paling penting perlu fokus kepada persembahan. Memandangkan ia sebuah lagu balada, penekanan saya haruslah kepada vokal dan susunan muzik,” katanya.

Baca : Ramalan Keputusan AJL29 18 Januari Ini Dari Beautifulnara 

Sumber : kosmo.com.my