Showing posts with label Kisah Puteri Saadong. Show all posts
Showing posts with label Kisah Puteri Saadong. Show all posts

Friday, January 16, 2015

Syafinaz gemuruh jadi Puteri Saadong

Sejarah membukukan kisah Puteri Saadong sebagai legenda agung yang menjadi bualan turun-temurun secara lisan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Tentunya, kisah puteri itu menjadi antara kisah terkenal apabila bercerita mengenai kehebatan seorang puteri dalam menegakkan haknya sebagai seorang wanita.


Syafinaz gemuruh jadi Puteri Saadong, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, Syafinaz, Kisah Puteri Saadong

Dalam usaha mengangkat kembali naskhah lisan agung itu, sebuah teater opera sedang dizahirkan bagi mengintepretasikan secara zahir kisah Puteri Saadong dalam bentuk opera.

Merupakan teater opera kontemporari pertama yang akan dipentaskan dalam wajah teater tradisional, penyanyi dan guru muzik, Syafinaz Selamat mengakui, dia sedikit gugup untuk menterjemahkan watak Puteri Saadong dalam karya menggunakan khidmat pensyarah muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Tazul Izan Tajuddin sebagai pengarah muzik itu.

“Memegang watak sebagai Puteri Saadong sudah tentu membuatkan saya gemuruh. Puteri Saadong merupakan legenda yang disanjungi dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Gemuruh tersebut ditambah pula dengan gaya penyampaian teater ini yang berasaskan kepada opera kontemporari, gabungan muzik dan suara perlu serasi supaya dapat diterjemahkan dengan baik kepada penonton,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan Opera Puteri Saadong yang diadakan di Fakulti Muzik, UiTM Shah Alam, Selangor.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai teater opera tersebut, Syafinaz memberitahu, antara cabaran getir yang terpaksa dihadapi sepanjang persediaan pementasan opera berkenaan ialah mengenai komposisi muzik sepanjang dua jam opera berlangsung.

“Kalau diamati dengan lebih mendalam, cerita sebenar Puteri Saadong merangkumi pelbagai plot dan adegan. Cabarannya ialah penyesuaian nada mengikut alunan muzik yang disampaikan sepanjang perjalanan teater tersebut.

“Jika adegannya sedih, nada yang digunakan mestilah sesuai dengan muzik yang telah dikomposisi agar penghayatan dapat dirasai oleh penonton,” ujar penyanyi bersuara suprano itu.

Syafinaz menambah, kombinasi antara dua bentuk muzik iaitu muzik kontemporari dan tradisional menjadi cabaran sampingan dalam menjayakan opera tersebut. Bagaimanapun, dari satu lagi sisi lain, penyatuan elemen muzik itulah yang menjadi keunikan opera tersebut.

“Menariknya mengenai opera ini, elemen muzik tradisional seperti gong, gendang dan seruling digaul bersama muzik kontemporari seperti keyboard, seruling dan biola yang menjadi senjata muziknya.

“Gabungan ini sememangnya mencetuskan bentuk muzik baharu yang tentunya menjadi penanda aras baharu dalam teater opera di Malaysia,” katanya.


Syafinaz gemuruh jadi Puteri Saadong, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, Syafinaz, Kisah Puteri Saadong

Ditebak mengenai harapannya terhadap opera itu, Syafinaz berkata, walaupun seni pentas opera masih lagi bentuk hiburan baharu dalam kalangan masyarakat Melayu, namun opera tetap mempunyai potensi tinggi disebabkan arus fleksibiliti industri hiburan di Malaysia.

“Sebelum ini, teater muzikal berasaskan opera belum pernah dipentaskan dan ia mungkin agak asing dalam kalangan masyarakat Melayu. Bagaimanapun, teater opera ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

“Saya percaya dengan kemahiran yang dimiliki oleh pengarah selaku komposer muzik teater muzikal ini, Tazul mampu membentuk penanda aras baharu, sekali gus membuka ruang baharu untuk opera berkembang dalam arena hiburan tempatan,” katanya.

Secara ringkas, Opera Puteri Saadong mengisahkan Puteri Saadong dan juga anak angkat kepada Puteri Kelantan, Siti Wan Kembang. Apabila berusia 15 tahun, Puteri Saadong dikahwinkan dengan sepupunya, Raja Abdullah.

Bagaimanapun, berikutan kalah dalam peperangan, Puteri Saadong telah ditangkap oleh Raja Siam (Raja Narai) dan dipaksa berkahwin dengannya.

Setelah sekian lama, Puteri Saadong akhirnya berjaya meloloskan diri dan kembali ke pangkuan suaminya, Raja Abdullah. Bagaimanapun, dia kecewa apabila mengetahui yang Raja Abdullah telah pun berkahwin dengan perempuan lain.

Marah dan menyimpan dendam, Puteri Saadong telah bertindak membunuh Raja Abdullah menggunakan cucuk sanggulnya. Dia kemudian membawa rajuknya ke salah sebuah daerah di Kelantan yang dikenali sebagai Bachok.

Teater Opera Puteri Saadong yang turut menampilkan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar itu akan dipentaskan pada 23 hingga 25 Januari ini di Kuala Lumpur Performing Art Centre (KLPAC), diikuti dengan Performing Art Centre di Pulau Pinang pada 7 hingga 8 Februari depan.

Tiket teater opera tersebut boleh didapati melalui laman web www.klpac.com.my dan www.penangpac.com dengan harga RM48 sehingga RM108.

Baca : Nelydia mahu bawa keluarga tunai umrah' 

Sumber : kosmo.com.my