Vokalis kumpulan 6ixth Sense, Adi atau nama sebenarnya Adi Priyo
Sambodo, 32, mendedahkan yang dia mempunyai perancangan untuk menamatkan
zaman bujangnya pada tahun hadapan.
Menjalinkan hubungan cinta bersama seorang gadis yang dikenali sebagai
N,
Adi bagaimanapun mengakui masih belum memiliki tarikh spesifik untuk
mengadakan hari perkahwinannya itu.
“Sudah hampir setahun saya menjalin hubungan dengan N. Kami ada
memikirkan untuk melangkah ke peringkat seterusnya pada tahun hadapan
tetapi ianya sekadar perancangan awal. Kalau boleh, kami mahu terus
bernikah sahaja dan tidak mahu bertunang,” ujar Adi secara ringkas
ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran Indigital dengan
kerjasama Suka Sucre Bistro baru-baru ini.
Belum membuat sebarang persiapan lanjut,
Adi mengakui yang dia sudah
berjumpa dan mengenali keluarga N. Dalam pada itu, Adi juga enggan
mengulas lanjut mengenai kisah cintanya bersama gadis yang berusia 21
tahun itu dan berharap agar semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk
hubungan mereka.
Dalam perkembangan terkini, Adi yang juga dikenali sebagai Manusia Putih
kini sedang berehat sementara dari mencipta lagu untuk
penyanyi-penyanyi lain kerana ingin menumpukan perhatian kepada 6ixth
Sense.
Terbaru, Adi dan ahli kumpulan 6ixth Sense yang lain sedang dalam proses
untuk menyiapkan single mereka yang berjudul Selamat Tinggal Cinta.
Lagu tersebut kini sedang menjalani proses mixing.
“Lagu ini kami rakamkan bersama dengan lagu 7 Kali Malam Minggu tetapi
kami memang bercadang untuk mengeluarkannya kemudian. Lagu ini
mengisahkan tentang kisah percintaan yang diganggu dengan kehadiran
orang ketiga dan bakal muncul pada September ini,” kata Adi mengakhiri
perbualan.