Penyanyi popular Stacy memberitahu dia mempunyai perancangan untuk menubuhkan syarikat pengurusan bakat.
Idea untuk menubuhkan syarikat pengurus bakat timbul selepas mengambil kira kepayahan yang terpaksa dihadapinya ketika mahu membina nama dan dikenali ramai.
"Pengalaman dalam mengemudi "Pop Krew" banyak membantu dan membuka mata saya untuk melaksanakan perancangan ini. Saya juga yakin Malaysia mempunyai ramai bakat muda untuk terus memacu industri muzik tempatan.
"Macam dalam "Pop Krew", saya akui kebanyakan peserta bertanding yang dipilih bersama Tomok, mereka bermula kosong. Kami berdua yang perah otak dan atur strategi corakkan mereka.
"Saya sendiri banyak luangkan masa bersama mereka. Gilap bakat mereka, aturkan latihan, kongsi pengalaman dan akhirnya saya puas hati dapat membentuk sekumpulan anak muda berbakat," katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Tambah penyanyi berusia 24 tahun itu lagi, industri muzik tempatan sekarang ini sememangnya kekurangan penyanyi berkumpulan, jadi program "Pop Krew" telah mencetuskan idea tersebut.
Dalam pada itu, walaupun dua kumpulan anak didiknya iaitu Algebra dan 5beats tidak berjaya menjuarai program tersebut, namun dia mempunyai perancangan sendiri untuk mereka.
"Semua anak didik saya menunjukkan peningkatan yang tidak diduga. Kesungguhan dan keberanian mereka membuahkan hasil terhadap usaha saya sepanjang proses menggilap bakat itu.
"Meskipun mereka tiada rezeki untuk menang di kemuncak "Pop Krew", namun saya amat berbangga dengan prestasi mereka. Saya melihat mereka ada potensi untuk pergi lebih jauh lagi jika mempunyai peluang."
Sumber : tupai.com.my