Wednesday, January 14, 2015

Fouziah Gous tak kekok sodok lumpur

Ming­gu ini Selebriti Metro Ahad paparkan kru Mentor Legend bersama mentor, Amy Search, Ella, Dayang Nurfaizah dan Mas Idayu menghulur sumba­ngan kepada mangsa banjir di Kelantan.



Fouziah tak kekok sodok lumpur, info, terkini, hiburan, sensasi, Fouziah Gous bantu mangsa banjir

Namun melihat gambar seorang artis ini, timbul rasa kagum. Seakan-akan tidak percaya artis jelita ini sang­gup turun padang membersih­kan kotoran dan lumpur tinggalan banjir.

Artis dimaksudkan itu ialah pelakon Fouziah Gous yang sama-sama menyingsing lengan bersama wanita lain untuk membersihkan Tadika Kemas Kampung Sirih, Kota Bharu.

Kalau artis lain lebih kepada menghulurkan sumbangan barang, Fouziah sanggup mencurah keringat mengharung selut membersihkan lumpur.

Rasa terharu ini mendorong saya ingin berkongsi pengalamannya dalam ruangan ini. Fouziah yang juga pengacara baru Nona untuk 2015 melawat kawasan banjir sekitar Kelantan pada 5 dan 6 Januari lalu bersama kru Nona. Selain menghulurkan bantuan, mereka sempat membantu membersihkan Tadika Kemas.

Kata Fouziah, Allah menguji mereka kerana mereka mampu menghadapinya dan Allah pula me­nguji kita 'mampukah kita membantu­nya'.

Fouziah akui tiada siapa menyuruhnya melakukan semua itu tetapi apabila melihat mereka beramai-ramai membersihkan tadika, dia terus mengambil penyodok untuk sama-sama membantu.

Tambah pula dia tidak suka duduk diam. Baginya, apalah sangat sumbangan kecil yang dicurahkan berbanding mangsa banjir yang terpaksa berdepan dugaan besar itu. Malah, ada yang hilang tempat ting­gal apabila rumah dihanyutkan air.

Walaupun tidak tahan habuk, dia tetap mengharungi kawasan yang banyak habuk. Badan bermandi peluh disifatkan satu kepuasan kerana dapat membantu mereka.

Ini juga bukan kali pertama Fouziah menghulur bantuan kerana tahun lalu dia turut membantu mangsa banjir di Kuantan, Pahang.

Dek semangat berkobar-kobar ingin membantu, Fouziah akui lupa melakukan persiapan diri sebelum ke sana seperti mengambil suntikan untuk pencegahan penyakit.

Dia lebih utamakan barangan yang hendak dibawa untuk diserahkan kepada mereka sampai menyiapkannya hingga jam 3 pagi. Namun Fouziah tidak lupa membawa bekalan minuman sarang burung yang menjadi amalannya setiap hari untuk penjagaan kesihatan.

Kunjungan kali ini juga Fouziah tidak lupa membawa barang untuk kanak-kanak kerana tahun lalu rasa hampa dan terkilan apabila ramai kanak-kanak menanti kedatangannya, tetapi tiada barang sesuai untuk diberi. Fouziah membawa bungkusan berisi cokelat dan gula-gula untuk diagihkan kepada kanak-kanak.

Suaminya, Md Zhafran Md Yusof turut membantu bersama rakan. Kata Fouziah, suaminya ada cara sendiri membantu mangsa banjir iaitu masuk ke kampung dan me­nyerahkan sendiri bantuan kepada penduduk kampung yang dirasakan terpinggir dan mungkin tidak mendapat bantuan.

Dalam kunjungan dua hari itu, Fouziah turut melawat Kuala Krai dan Manik Urai. Katanya, paling menyedihkan ialah Manik Urai kerana seluruh kampung musnah.

Fouziah dan suaminya mengatur rancangan untuk mengumpul dana bagi membantu mangsa banjir memulakan hidup baru kerana ramai antara mereka hilang tempat tinggal.

Sudah tentu untuk membina rumah dan sebagainya memerlukan kos yang banyak dan kini perbincangan dengan beberapa pihak dilakukan untuk mencari wang membantu mereka.

Baca : Meriah macam majlis kahwin 

Sumber : hmetro.com.my

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →