Friday, January 16, 2015

Tekanan 2015 Zul Ariffin

2015 meletakkan Zul Ariffin dalam tekanan tersendiri. Perkara yang paling memberi tekanan kepada pelakon drama itu apabila diramalkan bakal menamatkan zaman solonya bersama penerbit filem produksi Tayangan Unggul, Gayatri Su-Lin Pillai.


Tekanan 2015 Zul Ariffin, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, zul ariffin, gayatri su lin pillai

Selain itu, khalayak mahu menyaksikan momentum dan kedudukan yang dilakarnya sepanjang fasa akhir tahun lalu, terus meledak pada tahun ini.

Ditebak pertanyaan mengenai resolusi, strategi dan perancangannya pada tahun ini, Zul, 28, memberitahu soal hati dan perihal merancang perkahwinan pada tahun ini tidak termaktub dalam takwim tahun 2015.

Fokusnya lebih kepada mengekalkan kejayaan yang telah diraihnya bermula dengan fenomena Rindu Awak 200% tahun lalu dan memperluaskan pengaruh dengan menceburi beberapa bidang lain.

“Kahwin? Rasanya bukan tahun ini kerana setiap kali persoalan itu dibangkitkan saya akan pening. Bukannya mudah untuk merancang sesebuah majlis perkahwinan dan atas dasar untuk tidak merumitkan fikiran saya, lebih baik majlis itu bukan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Zul juga menjelaskan, dia mempunyai banyak komitmen dan kerja lain yang perlu dilaksanakan pada tahun ini dan apabila sudah betul-betul bersedia barulah dia akan mengumumkan untuk berkahwin. “Lagipun, saya tidak mahu majlis itu (perkahwinan)diadakan secara besar-besaran,” ujarnya yang ditemui pada majlis pelancaran produk penjagaan diri Nivea Cool Kick Triple Shield di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Adakah kemungkinan besar kenyataan itu dikeluarkan atas dasar kebimbangan terhadap saham dirinya yang sedang mencanak-canak kini, tegas pelakon filem Penanggal itu pilihan untuk berkahwin tidak didorong oleh faktor populariti semata-mata.

“Peminat sekarang bukan seperti dahulu, mereka menerima seseorang pelakon itu bukan berdasarkan status sama ada mereka telah berkahwin atau tidak. Ramai pelakon popular sekarang yang sudah berjaya tidak dinilai berdasarkan usia atau status, yang berjaya pun kebanyakannya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Peminat tahu dengan siapa saya keluar dan mereka faham. Jadi tidak timbul sebarang isu berkaitan saham jatuh atau saya cuba lari daripada berkahwin,” jelas Zul.

Dalam perkembangan lain, Zul baru dilantik sebagai ikon personaliti untuk melaksanakan kempen media sosial untuk produk terbaharu Nivea Cool Kick Triple Shield. Selain Zul, pelakon Nazim Othman dan selebriti kesihatan Kevin Zahari turut dipilih dalam kempen yang sama dengan beberapa aktiviti yang telah disusun di beberapa buah universiti tempatan bermula Mac depan.

“Secara peribadinya saya mahu membabitkan diri dalam aktiviti yang melibatkan masyarakat dan kebajikan pada tahun ini kerana tahun lepas fokus saya tertumpu kepada kerjaya semata-mata. Saya memang seorang pengguna produk tersebut sejak zaman belajar lagi dan tidak salah untuk saya mempromosi produk yang saya pernah gunakan,” katanya.


Tekanan 2015 Zul Ariffin, info, terkini, hiburan, sensasi, gossip, zul ariffin, gayatri su lin pillai

WAJAH baharu Nivea Cool Kick-Triple Shield Challenge. Dari kiri: Nazim Othman, Zul Ariffin dan Kevin Zahari.

Zul juga memberitahu, dia menggunakan tahun 2015 untuk memberi sehabis baik komitmen memandangkan dia telah diterima baik pada tahun lalu.

Ditebak bagaimana jika perancangannya untuk terus mendaki karier pada tahun ini tidak kesampaian, Zul memberitahu, dia tidak gentar jika itu situasi yang perlu dihadapinya.

“Soal jatuh atau naik bukan penanda aras bagi saya kerana saya pernah bermula dari bawah dan untuk turun semula ke peringkat tersebut saya tiada masalah,” katanya yang sedang hangat dengan drama bersiri Istikharah Cinta bersama Faye Kushairi.

Zul yang turut dilantik sebagai ikon Festival Drama Kuala Lumpur tahun ini bakal memasuki set penggambaran drama adaptasi novel berjudul Mr. London Vs Mrs. Langkawi bergandingan dengan pelakon cantik Izara Aishah. Tambah pelakon yang berasal dari Taiping, Perak itu lagi, sehingga September depan jadual kerjaya sudah terisi dengan pelbagai tawaran drama dan telefilem.

Berada di ruang selesa sebagai pelakon yang paling berkesan untuk menjayakan watak romantik meletakkan Zul berada pada satu tahap statik. Mengulas mengenai zon selesa, Zul mengakui dia akan berusaha untuk lari daripada stereotaip yang dilabelkan sebagai pelakon yang tidak berkembang.

“Saya bermula menerusi watak bukan romantik dan kebanyakannya diberikan karakter jahat. Filem Bikers Kental dan Penanggal misalnya membuktikan saya bukan hanya pelakon yang hanya menerima karakter lelaki romantik semata-mata. Cuma, pada mulanya saya kurang mendapat tumpuan kerana saya masih pelakon baharu.

“Nasib saya baik apabila tumpuan itu mula datang kepada saya apabila berlakon dalam cerita romantik dan saya akui saya perlu lari daripada zon selesa ini.

“Bagaimanapun apabila waktu penggambaran mengambil masa terlalu panjang, saya susah untuk mengubahnya (romantik). Tambah pula peminat menggemari watak itu, walhal watak romantik merupakan perkara paling sukar untuk saya lakonkan,” akuinya yang bersyukur kerana diterima baik oleh peminat.

Baca : Cinta bertaut kembali, Zizan fokus kerja 

Sumber : kosmo.com.my

Socializer Widget By Blogger Yard
SOCIALIZE IT →
FOLLOW US →
SHARE IT →