Percaya atau tidak, rata-rata tetamu yang hadir ke majlis pendaftaran perkahwinan dan resepsi selebriti terkenal Elaine Daly dan suaminya Nick Boden di Ciao Ristorante di sini semalam memuji penganjuran acara berkenaan.
Cukup bersederhana tetapi masih meriah, kebanyakan tetamu memandang tinggi pemilihan lokasi serta jumlah tetamu yang hadir ke majlis penuh bersejarah itu.
Ramai yang beranggapan, majlis resepsi berkenaan cukup sederhana, berjalan dalam keadaan terkawal dan penuh dengan kasih sayang terutama daripada teman rapat serta ahli keluarga terdekat Ratu Malaysia Universe 2003 berkenaan.
Walaupun tanpa sebarang hiasan dekorasi yang berlebihan, cukup sekadar dihiasi dengan lambakan bunga segar dari warna pastel serta kerdipan lampu kemilau di beberapa sudut penting khemah utama, majlis berkenaan bagaimanapun tetap indah dipandangan mata.
Majlis bermula sekitar jam 5 petang, di mana pasangan dengan rasminya telah disatukan secara sivil dan kemudiannya diikuti dengan acara minum teh sebagai mengikuti tradisi masyarakat peranakan Cina.
Elaine Daly tampil dengan gaun serba putih memikat kalbu daripada rekaan Khoon Hooi dan telah berkesempatan menggayakan layah paras bahu milik ibu kesayangan yang dikatakan sudah berusia 41 tahun.
Tetamu yang hadir menikmati acara rasmi tetapi kasual itu dengan sesi beramah mesra dengan tetamu jemputan yang kebanyakannya datang dari teman rapat di dalam industri hiburan serta fesyen tanah air.
Antara wajah popular yang turut hadir memeriahkan acara iaitu, Marion Caunter, Sazzy Falak, Hans Isaac, Dato Yasmin Yusoff, Aishah Sinclair, Daphne Iking, Venessa Chong, Nazrudin Habibur Rahman, Awal Ashaari, Dynas Mokhtar, Scha Al-Yahya dan ramai lagi.
Pelakon cantik Nur Fazura telah menggunakan peluang keemasan itu dengan merakamkan detik manis berkenaan untuk diabadikan di dalam program TV terbarunya, Facing Up To Fazura yang akan disiarkan di saluran E! Entertaiment tidak lama lagi.
Tidak ketinggalan penyanyi Jaclyn Victor telah hadir bersama-sama suami tercinta yang baru saja tiba dari Amerika Syarikat bagi memeriahkan majlis bahagia berkenaan dan telah menghadiakan sebuah lagu Inggeris berjudul When I Fall In Love bersama-sama.
Tidak terlalu terikut dengan susunan acara yang padat atau sebarang protokol seperti dalam kebanyakan majlis resepsi perkahwinan, tetamu yang hadir juga berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan dan menghulurkan ucapan tahniah kepada pasangan berkenaan.
Peluang itu juga digunakan para tetamu untuk mendekati keluarga kedua-dua belah mempelai yang ternya memperlihatkan gabungan dua budaya iaitu timur dan barat bersatu dalam suasana harmoni lagi indah.
Namun lebih tersentuh hati lagi mempersona ketika ucapan kedua-dua belah mempelai yang tidak sudah-sudah memuji pasangan masing-masing dan penganjuran majlis itu yang diakhiri dengan tarian romantic daripada mereka berdua.
Sumber : murai.com.my