Dia pernah dinobatkan sebagai pelakon paling popular dan tawaran berlakon filem juga tidak putus-putus, semuanya watak utama. Tentunya ketika ini Shaheizy Sam Samad, 32, melalui fasa hebat dalam kerjaya seninya.
Ternyata Sam belum puas kerana kepuasan baginya hanya akan terserlah apabila dia dapat bekerja dan memenuhi keperluan keluarganya terutama ibu tercinta, pelakon Khaty Fauziah.
Dalam usianya kini, Sam juga belum bertemu jodoh kerana baginya yang lebih penting bukan kebahagiaan diri, sebaliknya tanggungjawab sebagai anak menjadi fokus utama.
Dalam usianya kini, Sam juga belum bertemu jodoh kerana baginya yang lebih penting bukan kebahagiaan diri, sebaliknya tanggungjawab sebagai anak menjadi fokus utama.
Jujur Sam akui, kehidupannya kini tidak susah dan tidak juga kaya sebagaimana didakwa orang luar. Malah, dia bekerja keras selama ini bukan untuk diri sendiri tetapi kerana mahu puaskan hati ibunya.
"Saya bukan lahir dari keluarga berada dan misi saya ialah mahu tukar taraf kehidupan keluarga. Walaupun saya tahu ada antara mereka yang mampu, saya mahu berada di situ apabila mereka perlukan saya.
"Seperti mami, saya mahu dapatkan apa yang dia mahu di dunia dan pada masa sama saya dan mami mahu buat persediaan dunia dan akhirat.
"Memang kalau diikutkan, mami memiliki segala yang diidamkan seperti keluarga besar dan rumah selesa, cuma sebagai anak, saya mahu mami memiliki perkara yang mungkin dia tidak pernah ada dulu," katanya.
Kata Sam, walaupun tidak pernah bertanya ibunya apa lagi yang dimahukan dalam hidup, Sam tahu setiap manusia ada keinginan tersendiri.
"Saya sendiri ada pelbagai keinginan, jadi saya mahu penuhi keinginan itu untuk mami. Sebab itu, masa ini saya mahu kuatkan dari segi kewangan bukan saja untuk saya tapi kami bersama.
"Saya tak kerja pun mental fizikal tetap akan penat sebab otak saya sentiasa bekerja dan memikir apa lagi yang hendak dibuat. Kalau rehat pun sekejap saja. Kalau ke luar negara, baru saya betul-betul rehat," katanya yang jatuh sakit kerana demam denggi, dua bulan lalu.
Dek memikirkan kerja dan mengukuhkan kewangan, Sam akui kadangkala terpaksa mengambil tawaran berlakon yang dilabel tak berbaloi dari segi kualiti skrip dan watak.
Antaranya apabila dia dilihat banyak mengambil watak komedi berbanding dirinya yang bukan pelakon komedi.
"Sebab itu saya elak pergi ke acara berkaitan komedi. Pada masa sama, saya cuba seimbangkan sebab kita tahu dari dulu penonton suka komedi, jadi saya terpaksa buat apa yang orang suka.
"Namun pada masa sama, saya kena buat juga apa yang saya suka. Ia makan masa lama, mungkin dua tiga tahun baru dapat karya menarik," katanya yang mempunyai visi melakukannya untuk kewangan.
Untuk kukuhkan kewangan diri, keluarga dan orang sekeliling dengannya, dia tidak boleh menunggu lama dan menantikan karya bagus.
Pun begitu, Sam akui tindakan itu akan membuatkannya berdepan untung rugi sendiri.
"Saya boleh jadi pelakon hebat dengan karya segar seperti orang luar mahu tapi di sebalik itu, saya juga akan kehilangan sesuatu. Oleh itu saya pilih apa yang mampu.
"Kerjaya lakonan juga satu percaturan, sebab kita tidak akan tahu filem yang kita lakonkan bagus atau tidak selagi tak siap," katanya.
Sam yang baru selesai penggambaran filem Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar berkata, sebagai pelakon dia perlu percaya kepada pengarah kerana filem adalah medium untuk pengarah dan bukan hasil kekuatan seseorang pelakon.
Katanya, andai mendapat skrip bagus, ia tidak menjanjikan apa-apa andai pengarah gagal membawanya ke tahap betul.
Dalam pada itu, Sam yang hampir lima tahun bernaung di bawah MIG Talent enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tidak akan menyambung kontrak bersama syarikat pengurusan bakat itu.
Katanya, sehingga tarikh yang ditetapkan penghujung Disember ini, dia lebih selesa membiarkan keputusan sama ada sambung atau tidak dibicarakan apabila tiba masanya.
"Pun begitu, mulai 2015 saya akan mula memilih karya mana nak buat atau tidak. Saya tidak mahu ambil apa saja karya ditawarkan.
"Sama ada akan fokus pada bisnes atau sebaliknya, kita tengok dulu macam mana. Sebagai seorang yang mahukan kesempurnaan, saya memang akan ambil masa dan cuba lari dari keselesaan selama ini," katanya.
Filem terbarunya, Kaki Kitai ditayangkan di pawagam sejak 20 November lalu. Dalam filem ini, Sam berganding dengan teman baiknya, Fezrul Khan dan Farid Kamil.
Satu lagi filemnya, Manisnya Cinta Di Cappadoccia pula ditayangkan awal Disember ini. Kali ini Sam digandingkan dengan Fazura.
Sumber : hmetro.com.my