Penyanyi Syarif berasa lebih bahagia kumpulan Sleeq yang turut dianggotai oleh Alyph mengambil keputusan untuk berpecah pada September lalu.
Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah, 26, berkata, sejak bergerak secara solo dia kini lebih berdikari dalam merencana karier seninya tanpa perlu memikirkan kesan terhadap pihak lain.
"Sepanjang 10 tahun bersama Sleeq saya perlu mengambil kira pandangan Alyph sebelum membuat sebarang keputusan untuk kumpulan kami dan ia bukan satu perkara yang mudah.
"Bagaimanapun saya kini berasa bahagia apabila dapat membuat keputusan terbaik untuk diri sendiri tanpa perlu memikirkan kesan kepada orang lain," katanya.
Syarif berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana filem Sinaran di GSC Pavillion di sini, Isnin.
Sleeq yang dianggotai oleh Alyph dan Syarif berpecah sejak September lalu.
Sinaran yang juga filem pertama lakonan Syarif turut menampilkan barisan pelakon seperti Lisa Surihani, Evan Sanders, Izara Aishah, Nadiah M. Din dan penampilan khas Datuk Sheila Majid akan berada di pawagam bermula 26 November depan.
Bagaimanapun kata Syarif, keputusan meninggalkan Sleeq bukan sesuatu perkara yang mudah tetapi ia perlu dilakukan demi masa depan karier seninya.
Malah kata Syarif, dia masih berasa janggal tanpa kelibat Alyph ketika mengadakan persembahan kerana sudah terbiasa berdua di atas pentas.
Dalam pada itu, Syarif menegaskan punca perpecahan Sleeq bukan disebabkan dia mempunyai masalah dalaman dengan Alyph sebaliknya masing-masing ingin mencari hala tujuan dalam karier masing-masing.
Jelas Syarif, kedua-dua mereka semakin matang sebagai artis dan visi mereka mula tidak sehaluan yang menyebabkan kepada perpisahan tersebut.
"Perpisahan kami bukan kerana kami bergaduh tetapi semata-mata kerana kami sudah tidak sehaluan dalam visi kami sebagai seorang artis.
"Selepas 10 tahun berada dalam industri ini pandangan kami mula berbeza dan sudah tiba masanya kami membawa haluan masing-masing dalam mengejar objektif kami," jelasnya.
Tambah Syarif, hubungannya dengan Alyph masih lagi baik dan tidak timbul isu mereka kini bermasam muka seperti mana dilaporkan sebelum ini.
"Hubungan kami masih lagi akrab malah kami adalah sepupu dan tetap akan berjumpa cuma visi sahaja sudah berbeza," jelasnya.
Bercakap mengenai filem Sinaran, Syarif memberitahu ia adalah filem pertama lakonannya dan berharap ia menjadi titik permulaan untuknya mengembangkan kariernya sebagai pelakon.
Jelas Syarif, dia berharap akan mendapat lebih banyak peluang dalam bidang lakonan selain memberi fokus kepada karier nyanyiannya secara solo.
"Alhamdulillah pergerakkan karier selepas Sleeq semakin baik dan saya ingin meneruskan kerjaya dalam bidang seni dengan menerokai lebih banyak cabang seni termasuk lakonan.
"Sinaran menjadi permulaan baik untuk saya dan berharap ia akan membuka lebih banyak ruang kepada saya pada masa hadapan," ujarnya yang akan tampil dengan single pertama pada Januari depan.-mstar