Friday, September 11, 2015

Haziq AF4 Selamat Bernikah Dengan Maisarah

Dengan sekali lafaz penyanyi dan bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke empat (AF4) iaitu Haziq Rosebi selamat bernikah dengan pasangannya Maisarah Mohd Sidki, di kediaman pengantin perempuan di Raman Setiawangsa, Kuala Lumpur kira-kira jam 8.41 malam tadi.


Haziq AF4 Selamat Bernikah Dengan Maisarah


Pasangan ini dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Muhammad Immanuddin Mohd Sidki serta disaksikan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Masjid, Muadzeen Bin Ackil.

Pada majlis pernikahan itu, Haziq menyerahkan mas kahwin berjumlah RM300 dan sebentuk cincin manakala wang hantarannya dirahsiakan

Haziq turut menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada Maisarah dan pihak perempuan membalas dengan sembilan dulang hantaran.

Haziq melahirkan rasa syukur selepas acara akad nikah itu selesai dan berjalan dengan lancer.
"Alhamdulillah akhirnya kami sah bergelar suami isteri dan segalanya berjalan dengan lancar,"katanya.

Pada majlis itu, seramai 200 tetamu hadir menyaksikan pernikahan termasuklah ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan sahabat handai.

Mempelai bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi tengahari esok di rumah pengantin perempuan serta sebuah majlis bakal menyambut menantu bakal diadakan di kampong Haziq di Melaka pada 7 November depan.

Pasangan ini telah pun mengikat tali pertunangan terlebih dahulu pada 23 November tahun lalu.-murai

Thursday, September 10, 2015

Isteri Radhi (OAG) Jawab Salah Faham Imej Bertudung

Isteri penyanyi Radhi (OAG), Ayu tidak berniat untuk mempermainkan soal pemakaian tudung apabila sering dilihat berhijab, kemudian menanggalkannya.


Isteri Radhi (OAG) Jawab Salah Faham Imej Bertudung


Ayu atau nama sebenarnya Nur Shahira Ayu Zahiri, 21, berkata, perkara tersebut dilakukan kerana dia melalui tempoh percubaan untuk bertukar imej supaya dia benar-benar yakin melakukan perubahan.
"Ramai yang bertanya kenapa saya kadang-kadang pakai tudung dan kadang-kadang tidak?

"Semasa tempoh percubaan, saya hanya bertudung pada majlis-majlis tertentu yang dihadiri Radhi seperti majlis keagamaan tetapi ketika keluar bersiar-siar, saya tidak pakai kerana banyak baju yang tidak sesuai untuk dipadankan dengan tudung," ujarnya kepada mStar Online.

Ayu diminta mengulas tentang reaksi beberapa peminat Radhi mengenai status pemakaian tudung Ayu yang dilihat tidak konsisten.

Bagaimanapun kata Ayu, menjelang Ramadan lalu dia sudah membuat keputusan muktamad untuk terus berhijab.

Sementara itu, Ayu berkata, sebagai manusia biasa, dia juga memerlukan ruang bagi membuat persiapan untuk berubah menjadi manusia lebih baik.
"Saya macam orang lain juga, perlukan tempoh untuk benar-benar bersedia ke arah kebaikan. Bila kita biasa tidak bertudung memang awal-awal akan rasa janggal sikit bila tukar imej.

"Tapi lama-kelamaan bila saya sudah biasa memakainya, saya rasa janggal pula bila tidak pakai, itulah membuatkan saya terus kekal bertudung," katanya.

Jelas Ayu, Radhi ada menasihatkannya agar kekal dengan imej muslimah selain sedia membelikan kelengkapan baju yang sesuai dengan penampilan baharunya itu.

Namun, kata Ayu, suaminya itu tidak pernah memaksa dan menyerahkan keputusan tersebut kepadanya.

Radhi dan Ayu berkahwin pada 4 April 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Nur Aisyah yang kini berusia sembilan bulan.-mstar

Tuesday, September 8, 2015

Pelawak Terkenal Abam Bocey Terlibat Dalam Kemalangan

“Alhamdulillah saya okay. Saya sudah buat pemeriksaan doktor dan tidak ada apa yang serius. Saya cuma terkejut sekejap saja,” kata pelawak Abam Bocey, 27, yang terbabit dalam kemalangan di Batu 10, Gombak, dekat sini, pagi tadi. 

Pelawak Terkenal Abam Bocey Terlibat Dalam Kemalangan
Pelawak Terkenal Abam Bocey Terlibat Dalam Kemalangan Berhampiran Rumahnya

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi itu, kereta Perodua Myvi milik Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan remuk teruk di bahagian depan sebelah kanan selepas bertembung dengan kereta Proton Saga BLM dari arah bertentangan.

Difahamkan, pemandu kereta Proton Saga BLM terbabit hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta milik Abam.

Abam Bocey ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia bersama pembantu peribadinya yang dikenali sebagai Firdaus dalam perjalanan ke lokasi penggambaran telefilem berjudul Abang Aji di ibu negara.

“Kejadian berlaku sekelip mata. Kami baru saja meninggalkan rumah saya beberapa minit sebelum itu dan kereta terbabit tiba-tiba merempuh kereta saya.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa kecederaan kecuali benjol sedikit di kepala akibat terhantuk di cermin depan,” katanya.-bulletinmedia

Ezad Lazim & Exist Bergabung Demi Projek Khas

Penyanyi Ezad Lazim teruja dapat bergabung kembali bersama kumpulan Exist demi menjayakan The Blues Jean Concert yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada akhir bulan hadapan.


Ezad Lazim & Exist Bergabung Demi Projek Khas


Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, bagaimanapun berkata, gabungan semula itu hanya untuk projek berkenaan dan bukannya kembali sebagai vokalis kumpulan itu.
"Saya tidak berfikir lama untuk bersetuju kerana ia adalah konsert solo untuk Exist dan ingin menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu.

"Memang teruja apabila diberitahu mengenai konsert berkenaan namun ia hanya untuk projek istimewa sahaja," katanya kepada mStar Online.

Ezad ditemui pada majlis sidang media The Blues Jean Concert yang diadakan di Istana Budaya di sini pada Selasa.


Ezad Lazim & Exist Bergabung Demi Projek Khas


Selain Exist yang bakal membuat persembahan di Panggung Sari pada 23 Oktober depan, dua lagi kumpulan  turut terlibat adalah May (24 Oktober) dan Blues Gang (25 Oktober).

Exist turut dianggotai oleh Along, Shah, Ujang dan Musa.

Dalam pada itu, Ezad berkata, konsert di Panggung Sari itu adalah yang pertama untuk mereka dan telah menjadi impian Exist untuk tampil dengan sebuah persembahan istimewa seperti di pentas Istana Budaya.
"Dahulu semasa kami masih bersama tiada pula tawaran begini tetapi selepas berpecah ada rezeki kami untuk mengadakan konsert buat peminat dan kami sangat bersyukur," ujarnya.

Tambah Ezad, mereka sebelum ini pernah bergabung menerusi sebuah mini konsert di Hard Rock Cafe Melaka pada Ogos tahun lalu dan tidak menyangka mereka diberi peluang untuk mengadakan konsert di Istana Budaya.
"Ini adalah pertama kali kami mengadakan persembahan di Istana Budaya dan banyak perancangan akan diatur bagi memastikan ia berjalan lancar nanti.

"Namun apa yang pasti semua lagu popular Exist dari tahun 1991 hingga kini akan dinyanyikan dalam konsert selama dua jam itu," jelasnya.

Sementara itu, Ezad berkata, dia berharap gabungan mereka menerusi konsert berkenaan bukan yang terakhir kerana mereka sudah pun merancang untuk sebuah konsert bersempena ulang tahun ke-25 Exist.


Ezad Lazim & Exist Bergabung Demi Projek Khas



Tambah Ezad, dia juga tidak keberatan sekiranya ada tawaran untuk menggabungkan mereka menerusi sebuah album baharu.
"Apa sahaja yang jadi sebelum ini biarlah ia menjadi sejarah kerana kami semua sekarang sudah matang dan hanya mahu berfikir ke hadapan sahaja.

"Insya-Allah jika ada rezeki memang kami hendak buat konsert reunion dan menjemput sekali vokalis terdahulu seperti Ajai dan Mamat," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zambre Shaari berkata, pihaknya memilih ketiga-ketiga kumpulan itu untuk menyertai konsert berkenaan kerana setiap band mewakili era masing-masing selain mempunyai aura tersendiri.

Atas dasar itu juga kata Zambre, pihaknya hanya mengasingkan setiap kumpulan untuk persembahan malam berbeza bagi membolehkan peminat mendapat kepuasan ketika menghadiri konsert itu nanti.
"Tidak adil rasanya jika ketiga-tiga kumpulan diletakkan dalam sebuah konsert sama kerana akan menghadkan jumlah lagu untuk dipersembahkan kerana mereka mempunyai banyak lagu hit yang menjadi kegemaran peminat.

"Diharap konsert The Blues Jean Concert akan memberi kepuasan kepada penonton pada tiga malam itu nanti," katanya.

Tiket untuk menonton konsert berkenaan dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-41478600 dan 03-41478600 dan 019-2111600.-mstar

Jep (Sepahtu) Tidak Tertekan Belum Kahwin

Anggota kumpulan Sepahtu iaitu Jep tidak berasa tertekan untuk segera mendirikan rumah tangga seperti mana rakan-rakannya yang lain.


Jep (Sepahtu) Tidak Tertekan Belum Kahwin


Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, 30, berkata, selain alasannya masih belum bersedia, dia juga ingin memberi fokus kepada ibu bapa dan keluarga terlebih dahulu sebelum berkahwin.
"Kawan-kawan sekeliling memang kebanyakkan sudah berkahwin dan mempunyai anak tetapi itu tidak membuatkan saya tertekan untuk segera menamatkan zaman bujang.

"Buat masa ini saya ingin beri perhatian kepada keluarga terlebih dahulu dan Insya-Allah selepas semuanya stabil baharu saya akan berkahwin," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Jep tidak menafikan dia kini sudah mempunyai teman wanita namun tidak mahu terlalu terbuka mengenai perkara itu kerana bimbang akan disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Bagaimanapun kata Jep, dia bersyukur kerana wanita berkenaan memahami situasinya memandangkan mereka sama-sama memerlukan masa sebelum berkahwin.
"Saya ada tanggungjawab dan begitu juga dia. Soal jodoh kami pun tidak berani cakap kerana itu semua kerja Tuhan," jelasnya.

Sementara itu, Jep berkata, dia masih belum puas mencurahkan bakti kepada ibu bapanya dan atas dasar itu juga dia lebih selesa pulang ke kampungnya di Kulai, Johor sekiranya tidak mempunyai sebarang aktiviti seni.

Kata Jep, dia ingin berada disamping ibu bapa dan lebih puas melihat mereka berada di depan matanya.
"Mereka berdua adalah segala-galanya untuk saya dan boleh dikatakan hampir 80 peratus daripada masa saya, berada di kampung bersama mereka.

"Saya tidak kejar kemewahan dan dapat berada di tahap sekarang pun sudah membuatkan saya sangat bersyukur namun paling penting adalah ibu bapa saya.

"Keutamaan saya adalah untuk membahagiakan mereka dan Alhamdulillah kejayaan saya dapat dikongsi bersama mereka," katanya.-mstar

"Hanya NamaMu" Kukuhkan Nama Caliph Buskers

Masih segar dengan kejayaan mereka menarik perhatian rakyat Malaysia dengan persembahan meruntun jiwa di Anugerah Juara Lagu Ke-29 lalu, Caliph Buskers tidak menunggu lama dengan melancarkan single terbaru mereka yang berjudul 'Hanya NamaMu'.


"Hanya NamaMu" Kukuhkan Nama Caliph Buskers

Malah, video muzik untuk lagu ini turut dilancarkan di Youtube menerusi akaun KRU Music.

Ternyata video muzik yang dilancarkan telah berjaya menarik perhatian penonton dengan menampilkan jalan cerita kehidupan sebenar mereka sebagai pemuzik jalanan.

Menerusi komen-komen yang dikongsi peminat, rata-rata memuji lagu ini malah melahirkan rasa sebak dengan jalan cerita yang dipaparkan dalam video muzik ini.

Nampaknya Caliph Buskers sekali lagi berjaya menarik perhatian peminat dengan persembahan hebat mereka. Tahniah diucapkan, semoga Caliph Buskers akan terus maju dan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam industri muzik negara.-mediahiburan.karangkraf


MV 'Not For Sale' Stacy Bertaraf Antarabangsa

Anda tentunya pernah mendengar lagu berjudul 'Not For Sale' dendangan Stacy bukan? Lagunya memang mempunyai rentak melodi yang mampu mencuri tumpuan setiap yang mendengar. Tiga hari lalu, muzik video 'Not For Sale' mula disiarkan di laman YouTube dan bagi kami, ia nampak international. Pertama kali menonton, MV ini nampak seperti menggabungkan elemen Kpop, Britney Spears, dan Lady Gaga. Apa pendapat anda?
MV 'Not For Sale' Stacy Bertaraf Antarabangsa

Kami kongsikan video tersebut untuk tontonan anda. Selamat menonton!-mediahiburan.karangkraf

Norman KRU Bagi Peluang Kedua Pada Artis

Satu lagi program realiti TV akan muncul di negara kita iaitu ‘Rockers’ yang dikatakan sebagai program realiti TV Rock & Roll  pertama di Malaysia.
 
Norman KRU Bagi Peluang Kedua Pada Artis

Program ini merupakan program pencarian bakat solo rockers yang terpendam tidak kira lelaki atau perempuan berusia di dalam lingkungan umur 18 hingga 28 tahun. 

 Menariknya mengenai ‘Rockers’ ini, artis-artis yang tidak terikat lagi dengan mana-mana syarikat rakaman juga dibenarkan untuk mengambil bahagian asalkan masih mengikut syarat-syarat penyertaan yang telah ditetapkan oleh KRU Studios selaku penerbit program ini. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim, ‘Rockers’ memberi peluang kedua pada artis-artis yang tidak lagi terikat dengan mana-mana syarikat rakaman untuk turut sama menyertai program ini. 
 
“Kita bagi peluang kedua kepada artis-artis yang mungkin dahulunya pernah menyertai program-program lain tetapi tidak begitu berjaya atau menonjol.  Jadi mungkin jika jiwanya rock, dia boleh mencuba program ini. 

Tapi jangan risau kerana ‘Rockers’ tidak akan memilih semuanya artis.  Peluang sama rata kerana ‘Rockers’ memilih yang terbaik dan berjiwa rock,” jelas Norman. 

Bagi menyertai program ini, peserta perlu menghantar klip demo nyanyian ke ujibakat@rockers.com.my sebelum 30 September 2015.  Selepas itu barulah saringan akan dibuat dan anda akan diujibakat sekali lagi dengan mengadakan persembahan secara live. 

Hadiah yang ditawarkan adalah juara akan menerima RM50,000 dan kontrak rakaman bersama KRU Music serta berpeluang merakamkan single di Los Angeles. 

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh layari www.rockers.com.my-mediahiburan.karangkraf

Tasha Shila Berfesyen Tayang Perut, Dikecam Pengikut Media Sosial

Sejak kebelakangan ini, Tasha Shila dan kontroversi berpisah tiada. Baru-baru ini dia dikecam kerana berpakaian seksi sewaktu bertemu Jay Park. Kemudian, dia dikatakan ‘menyerang’ bekas teman lelakinya Hans Wong di sebuah kelab malam sehingga ahli Muay Thai itu membuat laporan polis.


Tasha Shila Berfesyen Tayang Perut, Dikecam Pengikut Media Sosial

Semalam, di akaun Instagram miliknya, Tasha telah memuat naik pula gambar dia menggayakan sehelai gaun yang menunjukkan hampir keseluruhan perut dengan kain terbelah peha. Dia menggayakan gaun itu dalam majlis pelancaran majalah fesyen dari Paris, L’officiel Malaysia di Pavilion, Bukit Bintang.

Bagaimanapun, Tasha telah memadam gambar tersebut setelah dia mula mendapat kritikan pengikut laman sosialnya.

Well, bagaimanapun tidak dinafikan Tasha nampak cantik dalam pakaian rona emas tersebut, cuma ia kurang sesuai dengan agama dan budaya masyarakat Melayu Malaysia.

Tambahan pula, kontroversinya yang lepas juga masih belum reda, kini tercipta satu lagi kontroversi.
Tasha Shila Berfesyen Tayang Perut, Dikecam Pengikut Media Sosial

Kata orang, bad publicity is still publicity. Tapi kalau dah banyak sangat, akan jatuh juga reputasi. Kenalah bersederhana, kata orang.

Mungkin sudah tiba masanya Tasha mengupah seorang perunding imej untuk menasihatinya bagai mengelakkan dia memakai pakaian yang bakal mendatangkan kritikan atau kutukan?-beautifulnara