Penyanyi Ezad Lazim teruja dapat bergabung kembali bersama kumpulan Exist demi menjayakan The Blues Jean Concert yang bakal diadakan di Panggung Sari, Istana Budaya pada akhir bulan hadapan.
Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 36, bagaimanapun berkata, gabungan semula itu hanya untuk projek berkenaan dan bukannya kembali sebagai vokalis kumpulan itu.
"Saya tidak berfikir lama untuk bersetuju kerana ia adalah konsert solo untuk Exist dan ingin menjadi sebahagian daripada acara bersejarah itu.
"Memang teruja apabila diberitahu mengenai konsert berkenaan namun ia hanya untuk projek istimewa sahaja," katanya kepada mStar Online.
Ezad ditemui pada majlis sidang media The Blues Jean Concert yang diadakan di Istana Budaya di sini pada Selasa.
Selain Exist yang bakal membuat persembahan di Panggung Sari pada 23 Oktober depan, dua lagi kumpulan turut terlibat adalah May (24 Oktober) dan Blues Gang (25 Oktober).
Exist turut dianggotai oleh Along, Shah, Ujang dan Musa.
Dalam pada itu, Ezad berkata, konsert di Panggung Sari itu adalah yang pertama untuk mereka dan telah menjadi impian Exist untuk tampil dengan sebuah persembahan istimewa seperti di pentas Istana Budaya.
"Dahulu semasa kami masih bersama tiada pula tawaran begini tetapi selepas berpecah ada rezeki kami untuk mengadakan konsert buat peminat dan kami sangat bersyukur," ujarnya.
Tambah Ezad, mereka sebelum ini pernah bergabung menerusi sebuah mini konsert di Hard Rock Cafe Melaka pada Ogos tahun lalu dan tidak menyangka mereka diberi peluang untuk mengadakan konsert di Istana Budaya.
"Ini adalah pertama kali kami mengadakan persembahan di Istana Budaya dan banyak perancangan akan diatur bagi memastikan ia berjalan lancar nanti.
"Namun apa yang pasti semua lagu popular Exist dari tahun 1991 hingga kini akan dinyanyikan dalam konsert selama dua jam itu," jelasnya.
Sementara itu, Ezad berkata, dia berharap gabungan mereka menerusi konsert berkenaan bukan yang terakhir kerana mereka sudah pun merancang untuk sebuah konsert bersempena ulang tahun ke-25 Exist.
Tambah Ezad, dia juga tidak keberatan sekiranya ada tawaran untuk menggabungkan mereka menerusi sebuah album baharu.
"Apa sahaja yang jadi sebelum ini biarlah ia menjadi sejarah kerana kami semua sekarang sudah matang dan hanya mahu berfikir ke hadapan sahaja.
"Insya-Allah jika ada rezeki memang kami hendak buat konsert reunion dan menjemput sekali vokalis terdahulu seperti Ajai dan Mamat," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Pengarah Urusan Bombbay Worldwide, Zambre Shaari berkata, pihaknya memilih ketiga-ketiga kumpulan itu untuk menyertai konsert berkenaan kerana setiap band mewakili era masing-masing selain mempunyai aura tersendiri.
Atas dasar itu juga kata Zambre, pihaknya hanya mengasingkan setiap kumpulan untuk persembahan malam berbeza bagi membolehkan peminat mendapat kepuasan ketika menghadiri konsert itu nanti.
"Tidak adil rasanya jika ketiga-tiga kumpulan diletakkan dalam sebuah konsert sama kerana akan menghadkan jumlah lagu untuk dipersembahkan kerana mereka mempunyai banyak lagu hit yang menjadi kegemaran peminat.
"Diharap konsert The Blues Jean Concert akan memberi kepuasan kepada penonton pada tiga malam itu nanti," katanya.
Tiket untuk menonton konsert berkenaan dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200 dan RM250 dan tempahan tiket boleh dibuat menerusi www.ticket2u.biz atau menghubungi talian 03-41478600 dan 03-41478600 dan 019-2111600.-mstar