Baru-baru ini, Fizz Fairuz telah pun dilantik menjadi duta kepada sebuah jenama motorsikal berkuasa tinggi dan menganggap perkara tersebut adalah rezeki bakal anak sulungnya itu.
“Alhamdulillah, ini mungkin rezeki anak apabila saya ditawarkan untuk menjadi duta kepada GO Motoshow Malaysia pada tahun ini. Mungkin ini juga adalah hasil kerja keras saya selama ini,” katanya ringkas.
Fizz yang kelihatan agak kurus ketika ditemui baru-baru ini turut menyatakan perkara tersebut mungkin berkaitan dengan jadualnya yang padat ketika ini.
Namun dalam masa yang sama, pelakon ini juga turut berkongsi rasa gembira dan menyatakan rasa bersedia untuk menyambut kelahiran bakal anak sulungnya itu nanti.
“Alhamdulillah buat masa sekarang semuanya sudah berjalan dengan lancar dan hanya menunggu masa sahaja. Sekarang, saya shooting ke mana pun saya akan bawa Almy bersama kerana kandungan sudah masuk 8 bulan. Bila-bila masa sahaja dia boleh melahirkan anak,” katanya lagi.
Siapa yang tidak teruja untuk bergelar bapa? Apatah lagi anak sulung yang bakal menjadi pengikat kasih sayang dalam rumah tangga.
Begitu juga pelakon yang dikenali dalam filem Mat Tudung, Fizz Fairuz, 35, yang kini menghitung hari menanti isterinya yang juga pelakon Almy Nadia, 28, melahirkan anak mereka pada Februari nanti.
Almy yang kini sarat mengandung lapan bulan dijangka melahirkan anak pada tanggal 27 Februari depan.
Walaupun agenda seninya padat dengan projek drama dan filem, Fizz mengakui dia tetap tidak mengabaikan tanggungjawabnya pada rumah tangga. Antara drama dan projek filem terbarunya ialah Cinta Ros Putih dan filem Mat Tudung 2.
"Ramai yang bertanya kenapa saya nampak kurus, sejak kebelakangan ini. Hakikatnya, saya tidak cukup rehat kerana perlu membahagikan masa antara karier seni dan menjaga isteri yang mengalami alahan yang teruk ketika mengandung.
"Saya juga tidak berani meninggalkan isteri seorang diri di rumah terutama pada waktu malam kerana Almy pernah diganggu makhluk halus dan terpaksa berubat secara tradisional sebelum ini," katanya.
Bercerita lanjut ketika menjaga Almy, kata Fizz, isterinya itu mengalami alahan yang teruk dalam tempoh tiga bulan pertama mengandung.
"Jika wanita mengandung lain mengalami 'morning sickness' pada waktu pagi, Almy pula muntah-muntah, sakit kepala dan kurang sihat pada waktu malam.
"Penat macam mana pun balik dari lokasi penggambaran, saya perlu meluangkan masa dengannya dan membantunya mengatasi alahan berkenaan. Malah, saya perlu mengambil alih tugas memasak bila dia kurang sihat akibat alahan mengandung," katanya.
Fizz ditemui pada majlis pelancaran Go Motorshow (Gomoma) Malaysia 2015-2017 anjuran UGDC Intensione Sdn Bhd dengan kerjasama Kazanah Bangsa yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Acara itu disempurnakan Tengku Besar Putra Sela-ngor Tengku Datuk Seri Ismail Shah Sultan Hishamudin Alam Shah.
Sebagai suami penyayang, Fizz berusaha memenuhi apa saja keinginan isterinya sepanjang tempoh mengandung itu.
"Saya sangat memahami wanita yang mengidam ketika mengandung. Sebelum ini, saya sudah memenuhi keinginan Almy untuk makan telur penyu dan jeruk asam boi dan sekarang dia mengidam untuk makan buah kundang pula.
"Saya sudah berusaha mencari buah kundang di serata tempat tapi tidak berjumpa kerana kini bukan musim buah itu sekarang. Justeru, saya berharap jika ada peminat atau orang ramai yang tahu di mana saya boleh mendapatkan buah kundang, silalah hubungi saya dengan segera," katanya.
Almy rancang kembali berlakon selepas pantang
Sepanjang tempoh me-ngandung, Almy mengakui dia terpaksa membataskan karier seninya kerana memberi tumpuan pada anak dalam kandungannya. Malah, Almy juga lebih selesa me-nguruskan karier seni suaminya sendiri ketika ini.
Namun kata Almy, dia tetap merancang untuk kembali berlakon selepas selesai tempoh berpantang nanti.
"Fizz tidak menghalang saya untuk kembali berlakon kerana dia tahu bidang lakonan sudah sebati dengan diri sejak dulu. Apa yang penting, saya tahu batas yang perlu dijaga sebagai isteri.
"Pada masa sama, saya lebih suka ada duit sendiri dan tidak suka bergantung dengan suami semata-mata," katanya.
Ditanya soal jantina bayi pula, kata Almy, dia juga dijangka melahirkan bayi perempuan nanti. Pasangan ini juga memiliki seorang anak angkat, Nur Afrina Darwi-sya, 6, yang dijaga neneknya di kampung.
"Kami tidak kisah soal jantina anak kerana yang penting bayi yang dilahirkan itu sihat dan cukup sifatnya nanti.
"Setakat ini semua persiapan untuk menyambut kelahiran bayi sudah siap terutama hospital untuk bersalin, pakaian serta peralatan untuk bayi juga sudah dibeli," katanya.
Baca : Tegar cabar diri Demi Sirah Rasullullah Tahajjud Cinta